Sunday 21 April 2013

Harapan Ustaz Hasbullah Ridzwan dalam PRU-13

16:16 By Unknown , , No comments


 Ustaz Hasbullah bin Mohd Ridzwan merupakan calon PAS bagi kawasan Gombak Setia. Beliau yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor sejak tahun 2009 sehingga kini menyifatkan bahawa pemilihan yang telah dilakukan oleh PAS untuk mencalonkannya bagi DUN Gombak Setia sebagai satu amanah yang perlu dipikul daripada parti.

Dengan misi beliau untuk “Merealisasikan Gombak Berkebajikan dan Meneruskan Kecemerlangan” , Ustaz Hasbullah yang baru pertama kali bertanding bagi DUN Gombak Setia berharap agar dapat sama-sama melakukan perubahan bagi kawasan Gombak ini. Hal ini disebabkan kawasan Gombak merupakan pusat ilmu dan terdiri daripada penduduk yang berbeza latar belakang. Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, beliau berharap supaya dapat mewujudkan Gombak Setia ke arah sifar masalah prasarana. Di samping itu, pembangunan jati diri manusia juga akan dititikberatkan untuk dipertingkatkan supaya masyarakat di kawasan ini bukan sahaja menjadi golongan yang berilmu pengetahuan, tetapi juga masyarakat bermaklumat dan mengetahui hak-hak mereka sebagai sebagai masyarakat.

Calon PAS bagi DUN Gombak Setia ini turut mengutarakan visi dan misinya dalam melaksanakan amanah yang diberikan jika beliau terpilih menjadi wakil rakyat nanti. Kesatuan rakyat akan menjadi asas utama dalam membangunkan masyarakat di Gombak khususnya, selain harapan beliau untuk membawa harapan rakyat  dan mengubah sistem dan juga budaya masyarakat daripada tidak tersusun kepada yang lebih kondusif. Menurut beliau lagi, kecemerlangan yang telah dibawa oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sebelum ini akan diteruskan pada masa akan datang.

Apabila ditanya tentang masalah yang berlaku di kawasan Gombak dan perubahan yang akan dilaksanakan, Ustaz Hasbullah berpendapat bahawa masalah yang ketara yang biasa diutarakan saban tahun ialah masalah berkenaan dengan infrastruktur yang melibatkan soal pemilikan tanah dan rumah, soal hak orang asli dan juga kesaksamaan bagi semua pihak dalam menikmati  hasil negeri, di samping mendapatkan hak mereka sebagai penduduk di sini.

                Berpegang dengan potongan ayat al-Quran daripada Surah Hud ayat ke-112, “Fastaqim kama umirta” yang bermaksud “maka istiqamahlah kamu sebagaimana yang Aku perintahkan”, beliau menyifatkan sifat istiqamah penting dalam merealisasikan visi dan misi yang digalasnya. Beliau juga berharap supaya para pengundi dapat memberinya peluang untuk berkhidmat kepada seluruh masyarakat di kawasan Gombak Setia, terutamanya bagi golongan pengundi kali pertama dan para belia agar suara mereka dapat dibawa ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Dewan Undangan Negeri.

0 comments:

Post a Comment