Dengan misi beliau
untuk “Merealisasikan Gombak Berkebajikan dan Meneruskan Kecemerlangan” , Ustaz
Hasbullah yang baru pertama kali bertanding bagi DUN Gombak Setia berharap agar
dapat sama-sama melakukan perubahan bagi kawasan Gombak ini. Hal ini disebabkan
kawasan Gombak merupakan pusat ilmu dan terdiri daripada penduduk yang berbeza
latar belakang. Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, beliau berharap
supaya dapat mewujudkan Gombak Setia ke arah sifar masalah prasarana. Di
samping itu, pembangunan jati diri manusia juga akan dititikberatkan untuk
dipertingkatkan supaya masyarakat di kawasan ini bukan sahaja menjadi golongan
yang berilmu pengetahuan, tetapi juga masyarakat bermaklumat dan mengetahui
hak-hak mereka sebagai sebagai masyarakat.
Calon PAS bagi DUN
Gombak Setia ini turut mengutarakan visi dan misinya dalam melaksanakan amanah
yang diberikan jika beliau terpilih menjadi wakil rakyat nanti. Kesatuan rakyat
akan menjadi asas utama dalam membangunkan masyarakat di Gombak khususnya,
selain harapan beliau untuk membawa harapan rakyat dan mengubah sistem dan juga budaya
masyarakat daripada tidak tersusun kepada yang lebih kondusif. Menurut beliau
lagi, kecemerlangan yang telah dibawa oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor
sebelum ini akan diteruskan pada masa akan datang.
Apabila ditanya
tentang masalah yang berlaku di kawasan Gombak dan perubahan yang akan
dilaksanakan, Ustaz Hasbullah berpendapat bahawa masalah yang ketara yang biasa
diutarakan saban tahun ialah masalah berkenaan dengan infrastruktur yang
melibatkan soal pemilikan tanah dan rumah, soal hak orang asli dan juga
kesaksamaan bagi semua pihak dalam menikmati
hasil negeri, di samping mendapatkan hak mereka sebagai penduduk di
sini.
Berpegang
dengan potongan ayat al-Quran daripada Surah Hud ayat ke-112, “Fastaqim kama
umirta” yang bermaksud “maka istiqamahlah kamu sebagaimana yang Aku
perintahkan”, beliau menyifatkan sifat istiqamah penting dalam merealisasikan visi dan misi
yang digalasnya. Beliau juga berharap supaya para pengundi dapat memberinya
peluang untuk berkhidmat kepada seluruh masyarakat di kawasan Gombak Setia,
terutamanya bagi golongan pengundi kali pertama dan para belia agar suara
mereka dapat dibawa ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Dewan Undangan Negeri.
0 comments:
Post a Comment