Monday, 22 April 2013

Ceramah Kelompok Ustaz Hasbullah Ridzwan Sekitar Gombak (21/4/2013)

10:15 malam | Taman Ibu Kota Kanan

Meneruskan usaha kempen dalam ceramah kelompok di sini. Kawasan perumahan yang padat dan kelihatan ada yang mendengar ceramah saya dari celah-celah tirai langsir. Moga ceramah di sini mendapat manfaat untuk semua.



11:00 malam | Pangsapuri Mesra, Taman Bolton

Ceramah kelompok untuk memperkenalkan calon. Sambutan penduduk pangsapuri begitu meriah dan ditambah dengan laungan 'Ini Kalilah Tukar' bergema satu pangsapuri.



11:20 malam | Desa Temenggong, Pinggiran Batu Caves

Saya baru sahaja berceramah bersama dengan Ustaz Mad Cina dan pegawai khas Azmin Ali, Saudara Hilman yang menggantikan Azmin Ali yang tidak dapat hadir. Saya begitu teruja melihat pelbagai kaum hadir memberikan sokongan.



11:45 malam | Dataran Flat Kenanga, Batu Caves

"Saya Hasbullah Ridzwan, di atas kertas undi nama saya berada di nombor satu. Tengok nama yang paling atas sekali, jangan lupa undi saya untuk calon N17 Gombak Setia" antara kata-kata penutup ceramah terakhir malam ini.



Aktiviti Bertemu Masyarakat di Pasar Malam Sri Gombak (22/4/2013)

6:30 petang | Pasar Malam Sri Gombak

Saya berkesempatan untuk melawat pasar malam bagi bertemu orang ramai.


Petugas kami juga turut mengedarkan belon selain daripada risalah.


Saya bersama-sama salah sebuah keluarga yang turut teruja untuk bergambar bersama.


Alhamdulillah, saya begitu teruja dengan sambutan masyarakat di sini apabila ramai yang dijumpai muda atau tua menyebut "Ini kalilah!".

Selain sibuk dengan urusan bertemu orang ramai, saya dikejutkan dengan berita sedih, Ustaz Syarhan Humaizi, Ketua Pemuda PAS Gombak yang juga rakan baik saya baru sahaja dimasukkan ke wad kecemasan Hospital PUSRAWI kerana sakit tulang belakang. Mohon doa dari rakan-rakan supaya beliau dapat kembali sembuh.

UHR; Ustaz Hasbullah Ridzwan.
"Ustaz Harapan Rakyat"
Unity.Hope.Reform.

Sunday, 21 April 2013

Aktiviti Sekitar Gombak 21/4/2013

4:50 petang | Kg. Kerdas 2

Saya menghadiri ceramah Kelompok dan Bacaan Yasin Muslimat Kg. Kerdas. Walaupun hujan, tanggungjawab bertemu pengundi diteruskan juga.



5.00 petang | Kampung Changkat

Bersama ketua kampung (berkopiah) melawat seorang pemuda warga tempatan yang terkena musibah buatan orang. Mohon doa rakan-rakan. Walaupun kita berlainan ideologi, tetapi kita tetap saudara seIslam.



5:30 petang | Taman Selaseh 2

Program memperkenalkan calon N17, Gombak Setia kepada penduduk Taman Selaseh. Sambutan penduduk begitu hebat. Tahniah kepada penganjur atas pertemuan petang ini.



Saya turut menyantuni para jemaah surau Syeikh Daud Al-Fatani Batu Caves dan berpeluang untuk berucap memperkenalkan diri. 


Ayuh, mari kita MENERUSKAN KECEMERLANGAN; Kekal Selangor dan Ubah Putrajaya.

UHR; Ustaz Hasbullah Ridzwan - Ustaz Harapan Rakyat - Unity, Hope & Reform!

Wawancara bersama Ustaz Hasbullah Ridzwan, Calon PAS N17 Gombak Setia

Wawancara bersama calon Dun Gombak Setia N17, Ustaz Hasbullah Bin Mohd Ridzwan pada 20 April 2013 bertempat di Pejabat Pas Kawasan Gombak. Beliau akan bertanding mewakili Pas dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum yang bakal diadakan pada 05 Mei 2013 ini. Ikuti wawancara berikut bersama beliau.




Boleh ustaz ceritakan serba sedikit berkaitan profil peribadi?

Saya lahir pada 3 Julai 1975, berasal dari Kampung Nakhoda, Batu Caves, Gombak, mempunyai empat adik beradik dan kini menetap di Kuala Lumpur. Telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak. Latar belakang pendidikan dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Fakulti Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Universiti Islam Negeri Sultan Shariff Kasim Riau. Pengalaman dalam PAS sehingga kini adalah sebagai pemangku Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gombak dan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor.

Adakah ustaz pernah menjadi calon pada pilihan raya sebelum ini?

Saya tidak pernah bertanding sebagai calon pilihanraya dan ini adalah kali pertama.

Apakah faktor yang mendorong ustaz bertanding pada PRU 13 ini?

Pada saya, ini adalah amanah. Untuk mengatakan ‘apa yang mendorong’ itu tidak tepat kerana seolah-olah saya menginginkan jawatan ini. Tetapi yang tepat adalah apa yang saya terima ini adalah satu tanggungjawab. Parti yang mengamanahkan saya sebagai orang yang bertanggungjawab untuk berbakti dan berkhidmat kepada masyarakat di Gombak Setia.

Di kawasan DUN Gombak Setia khususnya, apakah masalah-masalah yang sering dihadapi oleh penduduk di kawasan ini?

Berdasarkan pengalaman dari pusat khidmat sebelum ini, kita lihat antara masalah yang biasa dihadapi penduduk Gombak Setia adalah dalam soal infrastruktur, penyusunan kampung tradisi, soal pemilikan tanah dan rumah. Antara yang sering dikaitkan selainnya adalah hak orang asli. Selain itu, ketidaksaksamaan dalam memberi hak kepada rakyat juga adalah satu masalah. Pembangunan jati diri rakyat merupakan adalah perkara yang sangat perlu ditekankan.

Perubahan yang ingin ustaz lakukan sebaik menjadi ADUN Gombak Setia?

Perubahan yang ingin saya lakukan, adalah berdasarkan masalah-masalah yang telah disebut sebentar tadi dan dari situ kita akan memperbaiki dan memperelokkan kepada yang lebih baik. Yang pertama dalam soal infrastruktur, apa yang kita dapat lakukan adalah dengan kerjasama semua pihak dalam membantu kearah sifar masalah prasarana. Dalam soal penyusunan kampung tradisi pula, masalah yang umum adalah seperti saluran longkang yang tidak sistematik dan ini yang ingin kita perbaiki. Hak orang asli juga yang sering diabaikan perlu diambil berat oleh pemimpin. Oleh kerana itu, saya menitikberatkan soal kesaksamaan  kepada rakyat dalam menikmati hasil negeri secara adil. Yang lebih utama, saya ingin menyeru ditingkatkan pembangunan jati diri rakyat kerana ianya sesuatu yang penting demi menghasilkan rakyat yang berilmu, berpengetahuan dan memahami hak mereka.

Visi dan misi ustaz sebagai calon ADUN Gombak Setia?

Saya meletakkan visi merealisasikan Gombak berkebajikan, menekankan konsep unity iatu kesatuan rakyat dan meneruskan kecemerlangan yang digagaskan oleh Pakatan Rakyat sebelum daripada ini. Misi yang ditekankan adalah memahami kehendak dan keperluan masyarakat setempat, menyelesaikan masalah pembangunan prasarana setempat, mengharmonikan perpaduan erat masyarakat majmuk, menyuburkan Gombak sebagai pusat pembangunan insan melalui institusi masjid dan pusat pendidikan setempat, dan menggiatkan kegiatan dan syiar Islam.

Prinsip hidup yang dipegang selama ini?

Prinsip hidup yang dipegang saya sebelum ini adalah “fastaqim kama umirta” seperti didalam surah Hudd ayat 112 yang bermaksud “hendaklah engkau sentiasa teguh berdiri diatas jalan yang betul”. Pada saya, kehendak dan kemahuan sangat perlu dalam melaksanakan prinsip.

Harapan kepada penduduk DUN Gombak Setia?

Saya mengharapkan agar para pengundi dapat memberi peluang kepada saya dalam PRU 13 untuk berkhidmat dan mewakili suara rakyat Gombak untuk dibawa kepada peringkat DUN.




Harapan Ustaz Hasbullah Ridzwan dalam PRU-13


 Ustaz Hasbullah bin Mohd Ridzwan merupakan calon PAS bagi kawasan Gombak Setia. Beliau yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor sejak tahun 2009 sehingga kini menyifatkan bahawa pemilihan yang telah dilakukan oleh PAS untuk mencalonkannya bagi DUN Gombak Setia sebagai satu amanah yang perlu dipikul daripada parti.

Dengan misi beliau untuk “Merealisasikan Gombak Berkebajikan dan Meneruskan Kecemerlangan” , Ustaz Hasbullah yang baru pertama kali bertanding bagi DUN Gombak Setia berharap agar dapat sama-sama melakukan perubahan bagi kawasan Gombak ini. Hal ini disebabkan kawasan Gombak merupakan pusat ilmu dan terdiri daripada penduduk yang berbeza latar belakang. Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, beliau berharap supaya dapat mewujudkan Gombak Setia ke arah sifar masalah prasarana. Di samping itu, pembangunan jati diri manusia juga akan dititikberatkan untuk dipertingkatkan supaya masyarakat di kawasan ini bukan sahaja menjadi golongan yang berilmu pengetahuan, tetapi juga masyarakat bermaklumat dan mengetahui hak-hak mereka sebagai sebagai masyarakat.

Calon PAS bagi DUN Gombak Setia ini turut mengutarakan visi dan misinya dalam melaksanakan amanah yang diberikan jika beliau terpilih menjadi wakil rakyat nanti. Kesatuan rakyat akan menjadi asas utama dalam membangunkan masyarakat di Gombak khususnya, selain harapan beliau untuk membawa harapan rakyat  dan mengubah sistem dan juga budaya masyarakat daripada tidak tersusun kepada yang lebih kondusif. Menurut beliau lagi, kecemerlangan yang telah dibawa oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sebelum ini akan diteruskan pada masa akan datang.

Apabila ditanya tentang masalah yang berlaku di kawasan Gombak dan perubahan yang akan dilaksanakan, Ustaz Hasbullah berpendapat bahawa masalah yang ketara yang biasa diutarakan saban tahun ialah masalah berkenaan dengan infrastruktur yang melibatkan soal pemilikan tanah dan rumah, soal hak orang asli dan juga kesaksamaan bagi semua pihak dalam menikmati  hasil negeri, di samping mendapatkan hak mereka sebagai penduduk di sini.

                Berpegang dengan potongan ayat al-Quran daripada Surah Hud ayat ke-112, “Fastaqim kama umirta” yang bermaksud “maka istiqamahlah kamu sebagaimana yang Aku perintahkan”, beliau menyifatkan sifat istiqamah penting dalam merealisasikan visi dan misi yang digalasnya. Beliau juga berharap supaya para pengundi dapat memberinya peluang untuk berkhidmat kepada seluruh masyarakat di kawasan Gombak Setia, terutamanya bagi golongan pengundi kali pertama dan para belia agar suara mereka dapat dibawa ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Dewan Undangan Negeri.